Khamis, 12 Ogos 2010

Dalil dan Kes-Kes Yang Membolehkan Jama'

Kiriman: PanelSyariah pada Jumaat, 19 Disember, 2003 - 07:29 AM EST
Fatwa S. Assalamualaikum, saya pelajar Malaysia di Uk ingin mendapat penjelasan berhubung solat jamak dalam keadaan kesulitan untuk mengerjakan solat disebabkan berada dalam kelas, lab, peperiksaan dan sebagainya terutama ketika waktu Zohor dan Asar(kadangkala pendek dan berubah cepat). Bolehkah pihak penal memberi dalil dan kes-kes yang dibolehkan dan seblaiknya?

Sabri Saad, UK.17 Dec 2003

J. Bismillah. Al hamdulillah, wassolatu wassalam ala Rasulillah wa ba'du;

Pada asalnya solat disyariatkan menurut waktu-waktu yang telah ditetapkan. Firman Allah taala, maksudnya; Sesungguhnya solat adalah kewajiban berwaktu yang diwajibkan keatas mukminin pada setiap waktu. Terdapat ayat-ayat lain dan hadis-hadis yang menjelaskan waktu untuk setiap solat secara terperinci. Agak panjang kalau hendak disebutkan disini.

Yang menjadi persoalan ialah bolehkah solat dilewatkan dan ditunai pada waktu lain yang bukan pada waktu asal yang telah ditetapkan oleh nas quran dan hadis seperti persolan mengenai solat jama' ini? Dan adakah perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w?

Ulama' mazhahib berselisih pendapat dalam maslah ini:

Yang pertama: Dari segi hukumnya: Hanafi menolak solat jama' kecuali di Arafah dan di muzdalifah oleh para haji. Syafi'e, Maliki dan Hambali mengharuskan jama' di tempat selain daripada itu yang penditilannya akan diterangkan nanti.

Punca perselisihan dalam hal ini ialah kerana hadis-hadis yang diriwayatkan menganai solat jama'(mengumpul antara dua solat) merupakan perkahabaran sahabat mengenai perbuatan Rasulullah s.a.w dan bukan perkataan. Ia tidak kuat bagi Hanafi untuk mengubah hukum asal yang thabit dengan nas quran dan hadis yang jelas dan lebih kuat iaitu solat pada waktu yang ditetapkan.

Oleh itu mereka berselisih dalam menakwil/mentafsir hadis-hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w mengumpulkan antara dua solat seperti hadis Anas yang di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, hadis Ibnu Omar, hadis Ibnu Abbas dan Hadis Muaz yang kesemuanya menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w mengumpulkan solat pada waktu tertentu.

- Hanafi berpendapat bahawa maksud perkataan mengumpul yang disebut dalam hadis-hadis tersebut bermaksud melewatkan waktu solat zohor sehingga hampir waktu asar dan Magrib hingga waktu Isyak dan mereka melakukannya sekali gus secara berturut-turut.
- Maliki, Syefi'e dan Hambali berpendapat bahawa maksud perkataan mengumpul yang disebut dalam hadis-hadis tersebut ialah menunaikan solat Zohor dalam waktu Asar dan solat Maghrib dalam waktu Isyak atau sebaliknya. Mereka menganggap hadis-hadis ini punya kekuatan untuk mengikat kemutlakan hujah pertama. Bagi mereka terdapat pertindanan antara dua waktu, sehingga mereka mengatakan jika seorang masuk Islam pada waktu Asar ia wajib mengqada' solat Zohor.

Yang kedua: Dari segi sebab-sebab yang mengharuskan jama'(mengumpul). Syafi'e mengharuskan jama' kerana musafir dan hujan( begitu juga kerana becak), Malik menambah dan kerana sakit dan Ahmad mengatakan boleh jama' bagi orang yang tidak bermusafir. Semua bersetuju harus jama' kerana musafir.

Ulama' muta'khir memperluaskan kelonggaran jama' kepada kes-kes lain berdasarkan qias. Mereka mengatakan sebab yang mengharuskan jama' ialah wujud "hajat" atau dalam bahasa kita keperluan. Maksud "Hajat" disini ialah satu perkara jika diandaikan ketiadaannya akan membawa kepada masyaqqah(kesudkaran atau kesempitan).

Sebagai contoh; sesaorang boleh hidup tanpa memiliki kereta, tetapi kehidupannya tentu sukar dan tidak lancar. Banyak urusan akan tergendala dan kerugian boleh berlaku. Begitu juga jendela pada rumah, orang boleh tinggal dalam rumah walaupun tanpa jendela tetapi keadaan itu boleh menyebabkan kesukaran kepada penghuninya apa hujan atau dimusim sejuk. Oleh sebab itu kereka dan pintu kereta merupakan hajat dalam kehidupan manusia.

"Masyaqqah/kesukaran" pula berbeza kadarnya dari satu kes kepada satu kes yang lain. Merujuk kepada kes-kes yang disebut oleh ulama' seperti yang dijelaskan diatas selain musafir, sakit, hujan dan becak juga dianggap sebagai "masyaqqah" yang menimbulkan "hajat" sehingga solat boleh dijama'.

Orang tidak mati kalau pergi ke masjid dalam hujan atau dalam keadaan yang becak, dan begitu juga kalau orang sakit solat pada setiap waktu pada waktunya tetapi itu menyebabkan kesukaran kepadanya. Begitu juga pembelian secara tempah, walaupun barang yang hendak dibeli masih tidak ada tetapi ia diharuskan kerana "hajat". Jika tidak orang mesti membeli pakaian yang telah siap dan itu menyusahkan mereka sebab mungkin ia tidak sesuai dan tidak disukai oleh pembeli.

Demikian contoh-contoh yang boleh dimuatkan dalam kesempatan yang ringkas ini, untuk menjawab soalan yang diajukan kepada kami. Saudara boleh qiaskan keadaan saudara dengan contoh-contoh yang saya sebutkan diatas. Kata ulama': "masyaqah membawa kemudahan".

Sekian terimakasih, Wallahu aklam bi as sowab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan