Jumaat, 13 Ogos 2010

Menghadap Qiblat dalam Pesawat.

http://www.al-firdaus.com/musafir/bhg23.htm

3 Menghadap Qiblat dalam Pesawat.

Menghadap Kaabah dengan tepat secara melihatnya adalah wajib bagi orang yang berada di sekitar Masjidil Haram, Mekah manakala bagi yang berada jauh, menghadap ke arah Kaabah adalah cukup bagi menepati syarat hukum.[1]

[1] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/619 ; dan mana-mana lain kitab fiqh.

Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda mafhumnya:

Baitullah ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) Masjidil Haram, dan Masjidil Haram ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) tanah suci Mekah, sedangkan tanah suci merupakan qiblat bagi penduduk bumi dari umatku baik yang ada di sebelah timur mahupun di sebelah barat.[2]

[2] Maksud hadith riwayat Imam al-Baihaqi, dikutip oleh Shaikh Manshur Ali Nashif dalam at-Taaj al-Jamii' lil-Usul fii Ahadith Rasul, 1/440 tanpa mengemukakan status kekuatannya.

Qiblat di perkampungan asal atau destinasi perjalanan.

Termasuk yang dibolehkan utk menentukan arah kiblat ialah dengan merujuk arah binaan masjid/surau, bertanya kepada orang yang dipercayai, melihat arah edaran matahari, corak susunan bintang dan berbagai lagi. Malah adalah difatwakan bahawa jikalau seseorang itu berada di sebuah negara Islam dan mendirikan solat tanpa menghadap qiblat atas alasan tidak tahu maka solat tersebut adalah tidak sah kerana ketidaktahuannya itu dipandang hanya sebagai suatu kemalasan dan bukan keuzuran.[3]

[3] Shaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Mufti Arab Saudi, Persoalan Solat dan Penjelasannya, ms 7.

Oleh itu wajib berusaha sebagaimana berusahanya seseorang itu ketika di negaranya sendiri (ketika dinegeri lain) seperti membawa kompass, bertanya kepada komuniti Islam dan berbagai cara lain (boleh juga bertanya arah barat timur dari non muslim).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Antara arah timur dan barat adalah Qiblat.[4]

[4] Maksud hadith dari Abu Hurairah, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhum, Sunan Tirmizi - hadith no: 0254 dan Sunan Ibnu Majah - hadith no: 1011.

Perhatian perlu ditegakkan di sini bahawa hadith tersebut bukanlah umum bagi semua lokasi seluruh dunia tetapi hanya khusus bagi lokasi lahirnya hadith tersebut iaitu bandar Madinah itu sendiri.

Diulangi bahawa amalan dari hadith di atas hanyalah sebagai alternatif kedua jikalau usaha pertama menentukan arah qiblat setepat mungkin tidak tercapai.

Kegagalan mencari arah qiblat.

Ini berdasarkan kisah riwayat yang pernah berlaku di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri dan para sahabat sepertimana berikut - [01] Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan:

Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya.[7]

[7] Maksud hadith riwayat Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, dikutip oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/320.

[02] Muadz bin Jabal radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah solat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pada hari yang mendung dalam satu perjalanan dengan menghadap ke arah selain qiblat. Tatkala solat telah ditunaikan maka mataharipun muncul lalu kami berkata - Wahai Rasulullah, kita telah solat bukan ke arah qiblat. Maka beliau menjawab: Solatmu telah diterima oleh Allah Azza waJalla kerana haknya. [8]

Berpijak dari dua hadith di atas, para fuqaha mewajibkan seseorang itu untuk tetap mendirikan solat-solat fardhunya sekalipun tidak mengetahui arah qiblat dan solat sedemikian adalah tetap sah serta tidak perlu diulangi di lain masa samada waktu solat itu masih hadir atau telah luput.

Hanya sebahagian dari para fuqaha Mazhab Shafie mewajibkan solat sedemikian didirikan semula apabila telah mengetahui arah qiblat yang sebenar kerana mereka memandang hadith-hadith tersebut sebagai tidak sahih untuk dijadikan hukum hujah agama.[9] Walaubagaimanapun analisa oleh tokoh-tokoh mujtahid pertengahan serta akhir zaman mendapati hadith-hadith tersebut mempunyai banyak sumber serta jalan-jalan periwayatannya dan saling kuat menguat antara satu sama lain hingga dapat mencapai taraf sahih sebagai dalil agama.[10]

Pihak yang mensahkan solat dalam suasana ketidak-tahuan arah qiblat tanpa perlu diulangi menyatakan beberapa syarat iaitu

Pertama - tidak berada di negara Islam. Jikalau seseorang itu berada di negara Islam maka tidak diberikan alasan untuk dia tidak mengetahui arah qiblat kecuali jikalau tersesat dalam hutan rimba atau sebagainya.

Kedua - telah berusaha mencari arah qiblat sedaya mampu setepat mungkin. (bertanya atau merujuk kepada alat-alat canggih masa kini).

Malas atau malu-malu bertanya bukan alasan tidak berdaya mampu. Malah dinyatakan seseorang yang menghadap ke satu arah tanpa usaha yang sekeras mungkin terlebih dahulu bagi menentukan arah qiblat maka solatnya itu tetap tidak sah sekalipun arah tekaannya itu sememangnya betul.

Ketiga - dalam jangkaannya yang kuat dia tetap tidak akan menemui arah qiblat sehingga kehabisan waktu solat fardhunya itu.[11]

Jikalau diperhatikan suasana zaman kini maka dapat disimpulkan bahawa bagi seseorang itu jatuh ke dalam suasana tidak tahu arah qiblat adalah sangat terpencil lagi jauh dari kemungkinan. Berbagai alat kompas samada analog atau digital kini sedia tercipta dan ditambah lagi dengan kehadiran umat Islam di merata bandar-bandar seluruh dunia membolehkan seseorang yang asing itu bertanya.

Sekalipun di dalam pesawat seseorang itu boleh melakukan persediaan awal dengan mengkaji arah purata penerbangannya dan dengan itu dapat diketahui arah qiblatnya dalam masa-masa solatnya. Tidak dilupai juga boleh bertanya kepada juruterbang akan arah qiblat.

Jikalau menaiki pesawat syarikat non-muslim seperti British Airways dan sebagainya maka bertanyalah di mana arah bandaraya Jeddah kerana kemungkinan besar juruterbangnya tidak mengetahui apakah itu qiblat.

Walhasil dari berbagai cara dan kaedah sedia wujud di masa kini membolehkan seseorang itu menentukan arah qiblatnya dengan mudah lagi tepat. Faktor penentu samada arah qiblat itu diketahui atau tidak ialah sikap seseorang itu samada mahu mencari atau tidak.

nota kaki:
[8] Maksud hadith riwayat Imam ath-Thabrani dalam kitabnya al-Ausath, dikutip oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/321. Kedua-dua riwayat di atas diperbicarakan oleh para ahli hadith tentang kekuatannya akan tetapi dipandang sahih sebagai dalil oleh Imam asy-Shaukani atas dasar banyaknya jalan-jalan riwayatnya, setiap satu menguatkan yang lain. Lihat Nail-ul-Authar, 2/320-323. Demikian juga takhrij oleh Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/398.

[9] Demikian juga qaul terkuat Imam as-Shafie, bahawa beliau menyatakan solat itu wajib diulangi kerana berpendapat hadith tersebut adalah tidak sahih, dikemukakan oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 1/398.

[10] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/320-323 ; Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam,1/397-399 ; Imam Ibnu Ruysd al-Qurtubi - Bidayatul Mujtahid, 1/229 ; Shaikh H. Sulaimi / Alwi Abbas - Ibanatul Ahkam Syarh Bulugh-ul-Maram, 1/354 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/621-623 ; Ensiklopidi Hukum Islam - Kiblat ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/397-399 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 1/278 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/291-292.

[11] Dari sumber-sumber rujukan yang sama seperti di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan