Jumaat, 13 Ogos 2010

Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan

http://www.al-firdaus.com/musafir/bhg22.htm

2 Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan.

Baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda :

Waktu Zuhur itu ialah ketika matahari telah condong ke Barat sehingga bayang-bayang orang seperti tingginya selama belum masuk waktu Asar dan akhir waktu Asar itu ialah selama mana belum menguningnya matahari, dan waktu solat Maghrib hingga sebelum hilangnya awan mega merah dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam dan waktu subuh mulai dari terbit fajar hingga selama matahari belum terbit.[1]



Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Barangsiapa yang telah mendapat serakaat dari solat Asar sebelum terbenam matahari maka dia telah mendapat solat Asar secara tunai.[2]

Seseorang yang sempat melengkapkan satu rakaat disaat ini adalah dikira sebagai telah mendapat solat Asarnya itu, dia hanya perlu terus melengkapkan bilangan rakaat yang selebihnya.



hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:

dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam.

Sementara itu terdapat pendapat yang mengatakan bahawa waktu solat isya' itu adalah sehingga terbitnya fajar sadiq di esok paginya berdasarkan hadith:

Tidak ada kecuaian kerana tertidur tetapi kecuaian ialah pada orang yang tidak solat sehinggalah datang waktu solat yang lain.[3]

Hadith ini difahami sebagai menerangkan bahawa waktu solat itu berlangsung sehingga masuk waktu solat yang lain.

Walaubagaimanapun pendapat ini dikira lemah kerana hadith kedua tersebut adalah bersifat umum manakala hadith pertama bersifat khusus, jelas menerangkan bahawa waktu isya' itu berakhir di separuh malam.

Dalam kaedah usul al-Fiqh, jikalau terdapat dua dalil yang nampaknya bertentangan dalam satu keadaan maka hendaklah diutamakan dan diambil hukum dari dalil yang khusus berbanding dengan yang umum.

Maka secara umum semua solat itu berakhir dengan masuknya waktu solat yang lain kecuali bagi solat subuh dan isya' di mana telah ditentukan secara khusus dalam hadith yang berasingan tentang waktu akhirnya.[4]

Mendirikan solat isya' selepas pertengahan malam hanya dibolehkan bagi mereka yang terlupa atau terlalai atau tertidur atau menghadapi suasana uzur atau darurat, demikian menurut Imam an-Nawawi dan Ibnu Qudamah.[5]

Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan.

tetap wajib bagi setiap muslim yang sedang musafir dalam penerbangan, mencari dan menentukan waktu solatnya.

Beberapa kaedah asas yang yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat ialah dengan menggunakan sebatang pen atau pencil lalu dipegang di tingkap kapalterbang untuk diukur-banding bayangannya bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar, melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh atau ufuk barat bagi tanda permulaan waktu Maghrib dan Isya'.

Contohnya bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo yang mempunyai tujuan purata ke arah utara, berlepas di malam hari dan tiba di pagi hari, maka adalah seharusnya seseorang itu meminta terlebih awal agar diberikan kerusi duduk di sebelah kanan pesawat supaya dia dapat melihat ke arah timur bagi menentukan masuknya waktu Subuh.

Selain arah penerbangan dan hubungannya dengan arah gerakan matahari, penentuan kasar waktu solat boleh diusahakan terlebih awal samada dengan bentuk kiraan sendiri atau dengan menggunakan alat kiraan elektronik. Bilangan koordinat boleh didapati dari peta atlas atau boleh sahaja ditanya kepada juruterbang pesawat.

Adalah merupakan kesepakatan jumhur bahawa solat itu wajib dilakukan dalam waktunya yang sah dan tiada kelonggaran mudah yang disediakan dalam suasana perjalanan mahupun musafir.

Menentukan Waktu Solat di Destinasi Ketibaan.

Selain itu waktu solat di seluruh bandar-bandar utama dunia juga senang di dapati melalui layar internet, dan jikalau seseorang itu tidak mempunyai kesediaan internet di rumahnya pasti sahaja jiran di sebelah ada berpunya.

Sekali lagi ditekankan bahawa dengan wujudnya pelbagai kemudahan di zaman kini, seseorang itu tidak mempunyai sebarang alasan kukuh untuk tidak mengetahui waktu solat di destinasi tujuannya.

Halangan Berat Bagi Menentukan Waktu Solat.

Jikalau seseorang itu terhalang dari dapat menentukan waktu solat, seperti awan gelap yang meliputi ufuk barat pesawat terbang sehingga menghalang kedudukan pasti matahari, terkurung di dalam bilik yang tidak bertingkap, terdampar di kepulauan terpencil yang diselubungi pula dengan cuaca musim dingin dan sebagainya, maka dia tetap diwajibkan berijtihad sedaya mungkin, setepat mungkin bagi mencari waktu-waktu solatnya.

Apabila dia telah yakin, ataupun keyakinan itu lebih dari prasangka maka hendaklah dia bersolat dalam waktu yang diyakininya itu. Sebagai langkah tambahan, diharuskan melambatkan sedikit perlaksanaan solatnya itu sehingga bertambah keyakinan diri asal sahaja tidak sehingga terkeluar waktu pula.

Solat berdasarkan ijtihad waktu sebegini adalah dikira sah. [6] Akan tetapi jikalau di kemudian masa dengan menggunakan alat kiraan atau dengan terlihatnya matahari, dia mendapati bahawa jangkaan waktu sebelumnya itu adalah tidak tepat, maka mengikut pendapat yang terkuat dia harus mendirikan semula solatnya itu.

Ini adalah kerana keseluruhan perbuatan solat itu dilakukannya di luar waktu ketetapan dan ini wajib diulangi jikalau dia mengetahui akan kesilapannya. Sebaliknya jikalau dia secara terus tidak dapat memastikan ketepatan jangkaan waktu sebelumnya itu samada betul atau salah maka solatnya yang awal itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi.

Nota Tambahan

Adakalanya dalam satu-satu kes terpencil, seseorang itu berkemungkinan menjumpai satu waktu solat itu berulang beberapa kali.

Contohnya bagi penerbangan jarak jauh yang menghampiri kawasan kutub, seseorang itu akan mendapati terbitan fajar berlaku beberapa kali.

Ataupun dalam kes yang lain, disebabkan oleh pesawat yang mengubah arah penerbangannya beberapa kali, maka adakalanya fajar terlihat dan adakalanya berselindung semula dan kembali terbit seketika kemudian. Oleh itu berapa kalikah dia harus menunaikan solat subuhnya ?

Maka dalam hal ini penulis berpendapat bahawa adalah memadai bagi seseorang itu menunaikan solat subuhnya itu hanya sekali dan yang sebaiknya adalah di kali pertama dia nampak terbitan fajar itu.



Kesimpulan

1. Menunaikan solat dalam waktunya adalah satu ketetapan yang jelas lagi pasti dan hukumnya adalah wajib.



2. Wajib berusaha memastikan bahawa seseorang itu berada di dalam waktu solatnya sebelum dia melaksanakannya.



3. Berbagai kaedah dan cara wujud untuk memastikan waktu solat dan yang terpenting hanyalah usaha diri masing-masing.



4. Jikalau tidak dapat diketahui waktu solatnya maka seseorang itu tetap wajib mendirikan solat fardhunya itu dalam masa yang dijangka kuat sebagai betul. Seandainya di kemudian ketika dia mengetahui akan silapnya masa solat asalnya itu maka hendaklah dia mengulanginya dan jikalau tidak diketahui langsung maka pengulang adalah tidak perlu.



[1] Maksud hadith dari Abdullah bin Amr radiallahu-anhu, Sahih Muslim - hadith no: 0612.

[2] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/307 . Maksud hadith dari Abu Hurairah ra, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Misykat al-Masabih - 3/181/44.

[3] Maksud hadith riwayat Imam Muslim dari Abu Qatadah, Subul-us-Salam, 1/308.

[4] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/308

[5] Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 1/66, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/397; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/81-88.

[6] Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/385-395 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/277 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh us-Sunnah, 1/263 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/531 dan selain itu dikutipnya beliau hujah dari - Mughni al-Muntaj, 1/127 ; Bujairimi al-Khatib, 1/355 ; Nihayah al-Muhtaj, 1/282 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan