Minda: Kita bagai katak sedang direbus
HARI ini kita saksikan semakin ramai manusia marah terhadap dunia Barat dan sistem kapitalis bawaannya yang dianggap terlampau memihak kepada yang kaya, tidak adil dan kerap menunjukkan ciri-ciri memeras serta menindas orang lain.
Satu kajian terbitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pernah menyatakan, pada hari ini dua peratus penduduk terkaya dunia kini memiliki 51 peratus aset dan kekayaan dunia. Sedangkan 50 peratus penduduk termiskin memiliki hanya satu peratus. Kemarahan ini dapat dilihat melalui demonstrasi dan rusuhan setiap kali berlangsungnya persidangan Bank Dunia, Tabung Kewangan Dunia (IMF), Forum Ekonomi Dunia atau pertemuan Ketua-ketua Negara Maju.
Demonstrasi yang didalangi oleh individu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi anti Barat ini menjadi platform bagi menzahirkan kebencian dan kekecewaan terhadap ketidakadilan dan kerakusan sistem kapitalis yang dibawa Barat.
Lebih memeranjatkan apabila demonstrasi ini juga turut disertai oleh ramai orang Barat sendiri yang turut tidak senang dengan sistem yang mereka anuti selama ini. Malah, ramai berpendapat krisis ekonomi global hari ini berpunca daripada sikap rakus individu dan gergasi korporat kaya-raya Barat dengan gaya hidup melampau dan materialistik anjuran kapitalisme.
Sebenarnya, kemarahan ini berlaku bukan kerana rasa iri hati terhadap kekayaan dan kemajuan Barat semata-mata.
Ia tidak disenangi kerana kapitalisme telah menganjurkan supaya manusia berebut-rebut menghimpun harta kekayaan tanpa mempedulikan kesannya kepada keseimbangan sistem ekonomi, sosial, institusi masyarakat dan kehidupan amnya. Akibatnya adalah kemerosotan sumber dan khazanah kekayaan alam, kepupusan makhluk ciptaan Tuhan, perubahan iklim dan sebagainya yang mampu menjejaskan kelestarian alam sekitar dan keperluan hidup generasi akan datang.
Kemarahan di kalangan masyarakat bukan Barat juga sebenarnya telah lama terpendam sejak zaman awal sejarah, terutamanya apabila Barat melancarkan ideologi penjajahan beberapa abad lalu. Dasar penjajahan dan penaklukan ini sengaja diperkenalkan Barat dengan matlamat memperjuangkan kepentingan ekonomi dan membolot sumber ekonomi dunia serta menghimpun kekayaan sebanyak mungkin.
Revolusi Industri yang berlaku dalam abad ke-17 telah mendorong usaha penjajahan dan persaingan di antara kuasa Barat untuk terus menjajah dan meluaskan kuasa masing-masing demi mendapatkan bekalan bahan mentah bagi keperluan perkembangan industri dan ekonomi mereka.
Penggunaan jentera dan penemuan teknologi baru oleh Barat mengupayakan mereka mendahului dalam kaedah pengeluaran secara besar-besaran, menjadikan mereka lebih berdaya saing. Perkembangan teknologi juga memberikan kelebihan kepada Barat dalam bidang ketenteraan sekali gus memudahkan proses penjajahan dan peluasan empayar.
Kelahiran organisasi bisnes kemudiannya, khasnya dalam bentuk penubuhan syarikat dengan tanggungan terhad pula telah memperkasa keupayaan organisasi Barat sehingga mereka langsung berjaya mendominasi ekonomi dunia.
Terdapat sebab lain kemarahan terhadap Barat sehingga ada di kalangan beberapa bangsa dan negara yang sanggup menzahirkan perasaan benci dan bertindak anti Barat secara ekstrem. Pada hari ini, umat Islam adalah antara mereka yang berada di barisan paling depan dalam memperjuangkan sentimen anti Barat.
Kemuncak kepada kebencian mereka ini dizahirkan sehingga ada di antara mereka yang sanggup bertindak ganas sama ada secara berkelompok mengikut kumpulan ekstrem (mengikut rentak gerakan Islamis ekstrem) mahupun secara individu sehingga rela menggadai nyawa.
Pengalaman hidup sebahagian besar umat Islam dan penduduk dunia membangun yang pernah negaranya dijajah sudah tentu mudah sekali membangkitkan perasaan membenci Barat. Banyak konflik antara kaum dan agama yang berlaku hari ini juga jelas kesan warisan daripada tindak-tanduk ‘orang putih’ sebelum ini.
Selaku bangsa penjajah, mereka dulunya dengan sewenang-wenangnya telah masuk menceroboh, mencampuri adat resam, budaya dan hal ehwal agama serta ‘merosakkan’ tamadun bangsa-bangsa lain yang dijajahnya.
Ini berlaku apabila negara Barat berebut-rebut menjajah dan menggunakan kuasa yang ada untuk ”membentuk” dan ‘mencipta’ negara mengikut ‘selera’ mereka sendiri, tanpa mempedulikan sejarah budaya dan hak asasi penduduk setempat. Perhambaan orang kulit hitam Afrika oleh orang putih pula adalah salah satu tragedi besar dalam sejarah tamadun manusia yang tidak mudah dapat dihakis daripada memori kehidupan semua.
Demikian juga dengan pengalaman pahit yang pernah dilakukan Barat terhadap umat Islam. Tragedi Perang Salib sebelum era penjajahan lagi sememangnya sudah lama terpahat dalam memori. Pengalaman pahit umat Islam dan kemudiannya apabila dijajah Barat telah menyemai benih kemarahan dan kebencian sehingga dikenang sampai ke generasi baru.
Tragedi penjajahan zalim jelas dilihat misalnya di Algeria di bawah Perancis, Libya di bawah Itali, Mesir, Sudan dan Iraq di bawah British, Indonesia di bawah Belanda dan yang paling kompleks serta kontroversi hingga ke hari ini di Palestin setelah pembentukan negara haram Israel yang direstui British.
Justeru, tindak balas umat Islam yang kadang kala ekstrem sebagaimana yang dilakukan ke atas New York pada 11 September 2001 dilihat sebagai tindakan membalas dendam terhadap kezaliman, penindasan dan penganiayaan yang berleluasa. Begitu juga dengan tindakan ekstrem lain yang menyebabkan Islam dilabel sebagai agama yang menaja keganasan. Semua ini memberi ruang kepada kuasa Barat untuk terus-menerus menindas negara Islam atas alasan memerangi keganasan.
Namun, kemarahan umat Islam ini juga adalah sesuatu yang kompleks. Mengapa ia masih berlaku walaupun setelah begitu lama umat Islam bebas dan merdeka?
Situasi kompleks ini boleh dihuraikan dengan lebih jelas menerusi gambaran fenomena yang berlaku terhadap katak dalam satu eksperimen. Katak adalah antara makhluk paling sensitif terhadap perubahan persekitarannya, khasnya perubahan suhu dan cuaca. Eksperimen dimaksudkan boleh dijadikan perumpamaan kepada paradoks dan dilema yang sedang dihadapi umat Islam di dalam menghadapi cabaran perubahan hidup hari ini.
Melalui eksperimen pertama, seekor katak yang masih hidup dicampakkan ke dalam air panas dan menggelegak. Sebaik saja dicampakkan ke dalam air panas itu, katak berkenaan segera melompat keluar menyelamatkan diri. Percubaan beberapa kali mendapati katak itu masih berupaya menyelamatkan dirinya dengan melompat keluar daripada air panas berkenaan.
Namun, eksperimen kedua menunjukkan keputusan berlainan. Kali ini, katak diletakkan di dalam belanga yang airnya pada paras suhu biasa. Dalam keadaan ini, katak tidak merasakan dirinya terancam dan hanya kekal diam di dalam air itu. Kemudian, suhu air dinaikkan sedikit. Katak kelihatan selesa dan semakin khayal setelah air dipanaskan secara perlahan. Air itu terus dipanaskan sedikit demi sedikit hingga mendidih, akhirnya katak tidak lagi berupaya menyelamatkan diri seperti dalam eksperimen pertama. Katak mati direbus!
Pengalaman katak dalam eksperimen kedua inilah yang sedang berlaku terhadap umat Islam. Tanpa disedari, kita sebenarnya umpama katak yang sedang direbus. Setelah lama merdeka, masih tercari-cari semula jatidiri. Namun, yang ditemui ialah gaya hidup kebendaan dan rakus di bawah sistem ekonomi kapitalis peninggalan penjajahan. Sistem ini sememangnya mengkhayalkan, khasnya bagi golongan elit, mereka yang berkuasa dan kaya serta mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.
· Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan