Pertukaran siang dan malam menunjukkan kepada kita bagaimana kekuasaan Allah dalam mengatur pergerakan seluruh alam ciptaanNya dengan teratur dan tersusun. Tiada makhluk yang mampu mencabar kehebatan dan keadilanNya serta tiada siapa yag mampu menandingi kebijaksanaan dan sifat pemurahNya yang begitu tinggi. Setiap sesuatu dibuat dan dicipta dengan hikmatnya yang tersendiri bukannya dilaksanakan secara sambil lewa dan main-main sahaja.Setiap sesuatu daripada makhluk ciptaanNya ada awal penciptaan dan akhir hayatnya di mana tiada sesuatu pun yang kekal selama-lamanya. Keimanan yang tinggi dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah Pencipta Alam ini dapat menundukkan hati kita daripada merusuh dan berputus asa dengan perjalan hidup yang penuh dengan onak cabaran yang sentiasa datang melanda diri. Rasa patuh dan taat yang sepenuhnya terhadap hukum Allah akan sentiasa mendidik diri untuk terus redha terhadap Qadha' dan Qadar Allah tanpa terdetik sedikit pun di hati sanubari untuk melawan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap diri kita sebagai hamba yang lemah dan serba kekurangan.
Kadang-kadang keadaan manusia tidak dapat dibaca pada pandangan zahir di mana adanya berlaku dalam tangis ada bahagia, dalam ketawa ada derita. Setiap diri manusia sememangnya suka kepada kebahagiaan dan keamanan walau pun dia sendiri suka mengganggu kebahagian dan menggugat keamanan orang lain.Manusia yang tidak besyukur sentiasa mengejar apa yang tiada serta mengabaikan sesuatu yang dicari selama ini apabila ia sudah berada di hadapan mata. Manusia sering kecewa apabila gagal menggapai sesuatu yang dihajati sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak mensyukuri sesuatu yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Manusia sentiasa lupa kepada Penciptanya ketika senang tetapi mula memohon pertolongan apabila kesusahan mula datang menghimpit diri. Inilah sikap kebanyakan manusia akibat terheret dengan godaan dunia. Dunia menipunya sehingga akhirat dilupakannya. Dunia mengodanya sehingga pahala dan dosa diketepikannya. Dunia menghancurkannya sehingga hari mati tidak dihiraukannya. Dunia memperdayakannya sehingga rasa rindu pada syurga dan rasa gerun pada azab neraka tercabut daripada hati sanubarinya. Manusia mula lupa dirinya sehingga tidak kenal identitinya sendiri sebagai makhluk ciptaan Allah yang serba kekurangan.
Menang dan kalah adalah adat dalam sesuatu pertandingan. Tetapi di dalam mermperjuangkan Islam agar ia berada berada disinggahsananya yang tinggi maka anugerah kemenangan mesti disyukuri manakala jika ditimpa ujian kekalahan maka pejuang Islam mesti bersabar kerana kemenangan yang sebenar akan pasti menjelang tiba.Sesuatu kemenangan dalam usaha meniggikan kalimah Allah di muka bumi ini mestilah disyukuri dengan mengisi kemenangan berdasarkan apa yang telah disuruh oleh Allah. Manakala apabila diuji dengan kekalahan maka perlu bersabar dengan sentiasa muhasabah diri yang mungkin belum menyerah diri sepenuhnya kepada Allah atau pun diri belum mampu memikul amanah kemenangan. Kemenangan yang hendak dicapai oleh pejuang Islam mesti selaras dengan kehendak Allah bukannya dibuat dengan mengenepikan ajaran Islam demi mencapai kemenangan semata-mata. Pejuang Islam tidak boleh merobek ajaran Islam dalam mencari kemenangan kerana kemenangan yang dicapai mestilah bersama dengan keredhaan Allah bukan dengan kemurkaanNya. Ini berbeza dengan ideologi lain yang mengenepikan prinsip demi mencapai kemenangan termasuk melalui penipuan, rasuah, penindasan, sekatan media dan sebagainya. Bagi mereka ialah semua perkara adalah dibolehkan termasuk menjual prinsip agama asalkan kemenangan mampu dicapai. Mereka berbuat demikian kerana kejayaan yang sebenar bagi mereka ialah kemenangan dunia semata-mata dengan mengenepikan keredhaan Allah dan hari akhirat sedangkan bagi pejuang Islam di mana mereka melihat bahawa kemenangan yang sebenar ialah mampu meraih keredhaan Allah samada ketika menang atau kalah kerana perjuangan ini berkait rapat dengan hari akhirat. Biar di dunia kalah tetapi pada hari akhirat dibangkitkan sebagai pemenang hakiki.
Oleh itu sedarlah kita bahawa dalam memperjuangkan Islam maka di hadapan kita ada dua kepastian samada beroleh kemenangan bersama keredhaan Allah atau teruji dengan kekalahan secara zahir sedangkan pada hakikatnya turut berjaya meraih pahala dan keredhaan Allah. Jika kita yakin pada pahala dan dosa serta syurga dan neraka maka kita semakin bersemangat dalam memperjuangkan Islam di mana semangat jihad ini terus membara dan tidak akan luntur. Dalam hati kita tidak lagi terdetik perasaan kecewa dan letih apabila kalah sebaliknya berasa bahawa semua yang berlaku ada hikmatnya dalam mendidik diri. Apa yang pasti perjuangan Islam ini adalah benar dan diredhai oleh Allah sedangkan musuh yang melawan Islam walau bagaimana pun kekuatan dan kehebatan mereka namun mereka termasuk golongan yang sesat dan bakal menghuni neraka Allah di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan