Jumaat, 13 Ogos 2010

Mengetahui arah qiblat tetapi gagal menghadapnya

http://www.al-firdaus.com/musafir/bhg23.htm

Mengetahui arah qiblat tetapi gagal menghadapnya.

Dalam suasana musafir moden masa kini seseorang itu mungkin menghadapi situasi yang berlainan dari apa yang pernah dihadapi oleh para sahabat di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dahulu. Situasinya ialah mengetahui arah qiblat tetapi tidak dapat solat menghadapnya.

Masalah ini sering timbul apabila seseorang itu hendak solat dalam pesawat terbang walhal tempat yang ada tidaklah seluas mana hingga sukar bagi dia untuk menghadap qiblat. Suasana lebih sulit apabila pesawat tersebut penuh dengan penumpang manakala anak-anak kapal pula sibuk dengan perkhidmatan kabin lalu menutup sebarang alternatif untuk bersolat dengan sempurna melainkan solat di atas kerusi dan menghadap ke mana sahaja kerusi itu menghadap.

Para fuqaha semua mazhab ahli sunnah tidak membenarkan solat fardhu tanpa menghadap qiblat apabila arah qiblat itu diketahui melainkan di dalam situasi darurat yang melibat keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan.

Pendapat ini mereka tegakkan kerana tiada wujud sebarang dalil dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam samada dalam bentuk sebutan mahupun perbuatan yang menunjukkan kepada kebolehan bersolat fardhu tanpa menghadap qiblat apabila arahnya diketahui. Kajian as-Sirah juga menunjukkan praktik Nabi sallallahu-alaihi-wasallam SAW yang sentiasa turun dari tunggangannya untuk solat fardhu secara sempurna dengan menghadap qiblat walau dalam suasana musafir. [12]

Hujah kedua ialah penerangan dari sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma di mana beliau telah menerangkan tentang cara bersolat dalam suasana peperangan (solat Khauf):

Akan tetapi jikalau ketakutan adalah terlalu kuat maka bolehlah bersolat samada berdiri di atas kaki atau di atas kenderaan, samada menghadap qiblat atau tidak.[13]

Dari dua penjelasan di atas para fuqaha semuanya sependapat bahawa solat fardhu tanpa menghadap qiblat jikalau qiblat itu diketahui adalah tidak sah melainkan dalam suasana darurat seperti suasana peperangan atau di atas tunggangan yang dikejar binatang buas atau oleh seseorang yang sakit tenat hingga tidak mampu untuk bergerak melainkan dengan bantuan orang.

Arah qiblat itu diketahui manakala ruang untuk menghadapnya tidak ada dan alasan untuk gagal menghadap qiblat adalah lebih kepada satu keuzuran fizikal daripada kedaruratan nyawa.

Samada perjalanan kita itu ialah dengan menaiki kapal terbang atau keretapi atau bas ekspress, yang pasti tiada ruang mencukupi untuk kita berpusing dan mengarah ke qiblat setepat mungkin. Suasana begini amat menjemput kepada ijtihad baru yang selari dengan tuntutan zaman.[14]

Dr. Ahmad asy-Syarbashi, seorang tokoh fiqh kontemporer dari al-Azhar, Mesir telah membicarakan permasalahan ini dengan menegaskan bahawa seseorang itu tetap wajib berusaha mencari ruang bagi membolehkan dia bersolat fardhu sesempurna mungkin. Antara pilihan yang ada ialah menunggu hingga ke perhentian sementara / transit sebelum mendirikan solat dan jikalau pesawat itu maju terus tanpa berhenti maka bertanyalah kepada anak-anak kapal akan ruang dan ketika yang sebaiknya untuk bersolat dan seterusnya.

Jikalau pesawat terbang itu berputar arahnya maka hendaklah dia juga turut sama menukar arah qiblatnya setepat mungkin akan tetapi jikalau tidak diketahui arah dan kadar putaran pesawat maka dibolehkan dia tetap bersolat dengan arah yang dimulainya.

Jikalau ruang yang ada hanya mencukupi untuk berdiri ke arah qiblat tetapi tidak untuk rukuk dan sujud maka berdirilah ke arah qiblat manakala bagi rukuk dan sujud laksanalah sehampir mungkin ke arah qiblat. Jika semua ini masih tidak terdaya untuk dilaksanakan maka hendaklah seseorang itu sebagai alternatif terakhir bertakbir ke arah qiblat dan kemudiannya meneruskan solatnya itu ke arah mana yang termampu.[15]

Makin sukar suasana itu maka makin berkuranganlah kelengkapan solat tersebut tetapi yang pasti solat itu tetap wajib didirikan.

Ini didasarkan kepada perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:

Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu mengerjakannya sekuat mampu.[16]

Tidaklah dinamakan suatu kesukaran jikalau seseorang itu tidak berusaha untuk mencari ruang untuk solat atau segan-segan bertanya kepada anak kapal untuk ruang solat.

Jikalau suasana kabin dipenuhi penumpang dan anak kapal pula sibuk dengan perkhidmatan dalaman maka tunggulah hingga kerja mereka selesai lalu kemudian solatlah. Tiada kesukaran yang boleh direndahkan jikalau tidak disertai dengan usaha dan keberanian. Disamping itu ambillah juga kemudahan syari'at yang sedia ada seperti menjama' antara dua solat.

Menurut Dr. Syarbashi dalam huraian bab yang sama, solat seseorang itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi kerana dia telah berusaha sekuat mampu untuk menghindari semua kesukaran yang wujud dan dengan seikhlas tujuan gagal mencari sebarang alternatif lain untuk mendirikan solatnya melainkan sekadar yang boleh.[17]

Walaupun tiada riwayat yang tepat dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam akan senario yang seumpama tetapi jikalau ditinjau kepada keseluruhan tuntutan as-Syari'at dan kefahaman as-Sunnah maka pendapat yang dipilih ialah tidak perlu diulangi lagi solat tersebut. Disebalik itu bagi seseorang yang mahu memilih untuk mengulangi solatnya itu maka tiada apa yang menghalanginya.

Nota Tambahan

Terdapat sepotong ayat yang ditafsir mudah sebagai membolehkan menghadap ke mana jua ketika bersolat jikalau tidak diketahui arah qiblat yang pasti, iaitu firman Allah Azza waJalla: Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat maka ke mana jua kamu arahkan diri maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya) lagi sentiasa Mengetahui..[Maksud surah al-Baqarah 2-115].

Dalam analisa penulis, pendapat ini amatlah lemah kerana ayat al-Qur'an tersebut pada hakikatnya tidak membicarakan hukum qiblat. Ayat di atas bukanlah ayat Ahkam untuk dinukilkan hukum darinya. Ayat ini bersifat umum dan terbuka manakala perintah menghadap qiblat dalam solat adalah dari ayat yang pasti lagi jelas yang tidak memungkinkan tafsiran kepada selain itu.

Bandingkanlah ayat di atas dengan ayat yang memerintahkan solat ke arah qiblat -

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Ka'bah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Ka'bah itu adalah benar dari Tuhanmu.[Maksud surah al-Baqarah 2 - 149].

Semakan terhadap beberapa kitab tafsir muktabar membuahkan beberapa tafsiran dan pelajaran darinya, iaitu:

1. Ayat ini asalnya diturunkan bagi menjawab kritikan kaum Yahudi yang menyindir Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam kerana mereka (umat Islam) telah menukar arah qiblat solat dari Baitul Maqdis di Juruselem kepada Baitullah di Mekah. Maka Allah Subhanahu waTa'ala menurunkan ayat ini menerangkan bahawa semua arah itu adalah kepunyaanNya.[18]

2. Ayat di atas juga bertujuan membuktikan keluasan kuasa serta ilmu Allah Subhanahu waTa'ala sebagai Tuhan pemerintah seluruh bumi dan langit ; dan kekuasaanNya memerintah tidak dibatasi oleh ruang atau tempat.

3. Ayat tersebut juga menerangkan bahawa syari'at Islam membolehkan umatnya beribadah di mana-mana kerana di mana sahaja dia beribadah, Allah Subhanahu waTa'ala tetap mengetahui akan ibadahnya itu. Ini sebagai menangkis syarat-syarat agama sebelum kedatangan Islam yang hanya membolehkan umatnya beribadah dalam tempat-tempat khusus seperti gereja atau biara.[19]

4. Selain itu ia juga menerangkan terhadap kebolehan umat Islam berdoa kepada Allah Subhanahu waTa'ala di mana-mana dan mengarah ke mana jua tanpa batasan atau had.[20]

5. Terdapat beberapa riwayat yang daif / lemah, yang menerangkan bahawa para sahabat pernah tersalah dalam menentukan arah qiblat dalam suasana malam yang mendung. Lantas mereka terus bersolat ke arah yang diduga betul tetapi di pagi harinya nyata mereka tersalah. Hal ini kemudian diberitakan kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan beliau kemudiannya membacakan potongan ayat ini.[21] Walaubagaimanapun riwayat ini adalah daif dan tidak boleh dijadikan sumber patukkan hukum.

Menghadap qiblat dalam solat fardhu adalah satu kewajipan rukun dan jikalau seseorang itu mengalami kesukaran untuk mencari atau menghadapnya maka dia harus tetap berusaha sekuat mungkin untuk mencapai kewajipan tersebut sepertimana yang telah dihuraikan sebelum ini. Kegagalan mencari atau menghadap qiblat dimaafkan agama atas dasar keuzuran dan bukan pula suatu kelonggaran hukum yang dipermudahkan.

Kesimpulan

1. Solat fardhu menghadap qiblat adalah satu perintah yang wajib lagi jelas dan setiap orang wajib menghadap ke arahnya setepat mungkin.

2. Jikalau arah qiblat tidak diketahui maka wajib berusaha mencarinya dengan segala cara dan upaya yang mampu, sekalipun bertanya kepada orang-orang non-muslim.

3. Jikalau arah qiblat tidak diketahui maka tetap wajib mendirikan solat fardhunya itu ke mana-mana arah yang disangka kuat sebagai benar. Jikalau dikemudian masa didapati arah tersebut adalah salah maka solat yang asal itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi.

4. Jikalau arah qiblat diketahui tetapi sukar untuk menghadapnya maka seseorang itu tetap wajib mencari jalan untuk menghadapnya setepat mungkin, selari dengan upaya masing-masing dan kadar kesukaran yang dihadapinya.




[12] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/626-631. Walaubagaimanapun tertulis dalam kitab ini bahawa salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal membolehkan solat fardhu tanpa menghadap qiblat jikalau sukar melakukannya, akan tetapi singkapan kepada Zaad-ul-Ma'ad, 1/285 mendapati yang benar pendapat itu ditujukan kepada solat sunat dan bukan solat fardhu.

[13] Maksud sebahagian dari satu hadith yang panjang riwayat Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, vol 6, no: 059, diutarakan oleh Prof. Dr. Taqiuddin al-Hilali dalam tafsirnya terhadap ayat surah al-Baqarah 02, no: 239 dalam kitab beliau berjudul Interpretation of The Meaning of The Noble Qur'an; A Summarized Version of at-Tabari, al-Qurtubi and Ibnu Kathir with comments from Sahih Bukhari, 1/160-161 (edisi 9 jilid). Solat Khauf ialah solat fardhu yang didirikan dalam suasana peperangan di mana kumpulan pertama bersolat dan kumpulan kedua berjaga dan selepas itu kumpulan kedua bersolat pula dan kumpulan pertama berjaga. Solat ini ada beberapa riwayat terhadap cara perlaksanaannya sesuai dengan kondisi yang dihadapi dan ada kalanya ia didirikan dalam keadaan bersiap sedia dengan senjata perang sambil menghadap musuh, bukan qiblat.

[14] Bagi pengajian lanjut mengenai ijtihad sezaman, lihat buku Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang berjudul: Ijtihad dalam Syari'at Islam: Beberapa Pandangan Analitis tentang Ijtihad Kontemporer.

[15] Dr. Ahmad asy-Syarbashi - Yas 'Alunaku fii ad-Diin wa al-Hayah, 1/47-48 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Pedoman Solat, ms 457-458. Shaikh Abdurrahman al-Jaziri - al-Fiqh 'alal Madzahibil 'arbaah, 1/357-359.

[16] Maksud hadith dari Abu Hurairah ra, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, diutarakan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarh Matn al-Arba'in, no 09.

[17] Dr. Ahmad asy-Syarbashi dari rujukan dan halaman yang sama di atas dan Shaikh Abdurrahman al-Jaziri - al-Fiqh 'alal Madzahibil 'arbaah, 1/359.

[18] Imam Jalaluddin as-Suyuti - Lababun Nuquuli fii Ashabin Nuzul, ms 100 ; Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad - Tafsir al-Qur'an, 1/167-168.

[19] Penjelasan 3 dan 4 adalah ringkasan dari penerangan Shaikh Ahmad Mustafa Maraghi dalam kitabnya Tafsir al-Maraghi, 1/360-364.

[20] Demikian penerangan Mujahid, anak murid kepada Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu, diriwayatkan oleh Imam Ibnu Jarir at-Tabari, dikutip oleh Imam Ibnu Kathir dalam Mukhtasar Tafsir al-Qur'anb al-Adzim Ibnu Kathir, 1/201.

[21] Hadith daripada Abdullah Ibnu Abbas radiallahu-anhu riwayat Imam Ibnu Mardawih, diutarakan oleh Imam as-Suyuti dalam Lababun Nuquuli fii Ashabin Nuzul, ms 100-102 dan didaifkan oleh Imam Ibnu Kathir dalam Mukhtasar Tafsir al-Qur'an al-Adzim Ibnu Kathir, 1/201. Demikian juga terdapat riwayat lain yang seerti dari Amir bin Rabi'ah radiallahu-anhu, diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan sekaligus didaifkannya, demikian juga dinyatakan daif oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani dalam Bulugh-ul-Maram, no:164 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan