http://al-qayyim. net/home/ index.php? module=Errore&type=admin&op=noexist&modname=&modfile=index
http://al-qayyim. net/home/
KENDURI ARWAH HARAM
SAHABAT NABI LARANG KENDURI
IA IBARAT RATAPAN DAN RATAPAN ITU HARAM
Oleh Wan Noriah Haji Daud , Watan ,selasa 9-12 September 1986
Salinan dan tambahan kajian
Sebahagian umat Islam di negara ini khususnya menganggap kenduri arwah itu diharuskan oleh syarak dan perbuatan itu jika diniatkan pula sebagai sedekah , maka jadilah ia sedekah tatauwuk (sunat) .
Mereka beranggapan ,mengadakan kenduri arwah itu baik pada hari pertama , hari ketiga , hari ketujuh , hari keempat puluh dan seterusnya adalah suatu perbuatan yang baik dan di beri pahala jika diniatkannya pula sebagai sedekah.
Anggapan yang demikian itu pernah ditegaskan pula oleh [Penyalin:H. M.Basori Alwi: Selamatan dan Tahlil untuk mayit,H.M.Syarwani Abdan: Simpanan berharga ] Al- Ustaz Mohd Nawawi Muhammad dalam Majalah Hikmah, terbitan Majlis Agama Islam Sabah, Ogos, 1979, halaman 37,[Penyalin: pengarang buku “Apakah Tawassul itu Syirik ?-”1996 dan Ust.Badrul Amin dalam kaset Fadzilat kenduri arwah dan tahlil. Malah Ustaz Badrul Amin sanggup mengandaikan [mungkin] kenduri zaman para sahabat itu kenduri arwah.]
Antara lainnya beliau [mereka] berhujah dengan sebuah hadis, bermaksud;” Daripada ‘ Asim bin Kulaib daripada seorang lelaki daripada kaum Ansar, dia berkata : kami telah keluar bersama Rasullullah s. a.w . pada suatu jenazah, maka aku melihat Rasulullah s.a.w. memesankan kepada penggali kubur , beliau berkata; Lebarkanlah dari bahagian dua kakinya dan bahagian kepalanya . Maka manakala Nabi pulang, datang seorang memanggilnya dari pihak isteri si mati (da’i imra’tihii], maka nabi memperkenankannya dan kami pun bersama-sama beliau lalu di hidangkan makanan. Kemudian Nabi meletakkan tangannya kepada makanan itu dan begitu juga orang banyak lalu mereka makan dan kami melihat Rasullullah s.a.w. mengunyah sesuap dalam mulutnya” . ( Abu Daud dan Baihaqi . Lihat Majalah Hikmah , Ogos , 1979, hal.37 ) .
[Penyalin: Asal Hadits salah kalimat ini dikutip daripada Kitab Hasyiyah Ath-thah-Thawi kemudian dinukil oleh pengarang Ghunyatul Mutamalli lalu diikuti oleh pengarang-pengarang kemudian]
Dari peristiwa itu beliau mengambil kesimpulan bahawa pekerjaan ini ( berkumpul dirumah ahli mayat dan menyediakan makanan dan orang yang diundang memakan hidangan itu ) boleh dan jika diniatkan sebagai sedekah maka jadilah ia sedekah tatauwuk ( Ibid, hal . 38 ).
Beliau juga menjelaskan bahawa dari peristiwa itu, Al Syeikh Ibrahim Al Halabi menfatwakan; “Maka inilah (hadis) yang menunjukkan ahli si mati boleh menyediakan makanan dan mengundang orang kepadanya .” (Ibid , hal. 38.).
Begitu juga kata beliau seterusnya , Al Syeikh Ali Al Qari menerangkan dalam Al Mirqatu Sharhu Miskat , katanya, “Hadis ini menurut nyatanya menolak apa yang telah di tetapkan oleh ahli Mazhab kita iaitu bahawa makruh menyediakan makanan pada hari pertama dan ketiga dan sesudah seminggu . Oleh yang demikian pendapat yang mengatakan makruh itu adalah tidak benar .” (Ibid ,hal. 38) .
Hadis tersebut di atas dikatakan diriwayatkan oleh banyak ahli hadis. Menurut Al Syeikh Muhammad Ali Al Maliki dalam Bulughul-Umniah, halaman 191 dan 194, hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi dalam Kitab Dalilun-Nubuwah dan juga oleh Iman Abu Daud, juzuk 2, halaman 218 dan oleh Al Syeikh Waliyudin Muhammad Tibrizi dalam Misskatu Al Masyabih, halaman 544 dan -lain ulama hadis.
Persoalannya ialah apakah hadis itu sahih , sehingga ia boleh dijadikan hujah untuk membolehkan kenduri arwah itu diadakan?
Prof.T.M. Hasbi Ash-Siddieqy dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum (6:258) menegaskan bahawa pengarang kitab Subulus Salam (3:97) menegaskan hadis itu tidak soheh. Beliau juga menyebut ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:258) bahawa dalam kitab Mizanul Iktidal oleh Az- Zahabi disebutkan telah berkata Imam Yahya Al- Qattan: Saya tidak mendapati seorang yang bernama ‘Asim melainkan saya mendapatinya seorang yang tidak baik hafalannya.
HUKUM
Dalam kitab yang sama (Mizatul Iktidal) juga disebutkan Imam Ibn Madiniy berkata bahawa ‘ Asim bin Kulaib adalah orang yang kita tidak dapat berhujah dengan dia apabila sesuatu hadis itu dia saja yang meriwayatkannya ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:258-259).
Maksudnya , kalau ada satu riwayat dari jalan ‘ Asim bin Kulaib itu dan tidak ada riwayat melalui jalan lain, maka riwayat atau hadis itu tidak boleh menjadi alasan. Dengan kata lain hadis yang diriwayatkan dari ‘Asim adalah lemah dan tidak boleh dijadikan alasan sesuatu hukum.
Sesudah jelas hadis tersebut dhaif, perlu pula dijelaskan sedikit tentang hadis tersebut yang dikatakan diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Daruqutni, sebagaimana yang disebutkan dalam Majallah Hikmah yang telah dinyatakan di atas.
Terdapat perbezaan kalimat dalam hadis yang menjadi pokok permasalahan itu. Dalam Majalah Hikmah yang disebutkan di atas, kalimah itu berbunyai;
“Maka di waktu Nabi pulang [dari penguburan jenazah], beliau bertemu dengan seorang pemanggil [penyeru] perempuannya iaitu isteri si mati.’’.
Penulis sendiri tidak dapat memastikan adakah kalimah yang sebegitu memang terdapat dalam kitab Bulughul Ummiyah oleh Al-Syeikh Muhammad Ali Al Maliki kerana penulis tidak mempunyai kitab tersebut.
Walaubagaimanapun, penulis mempunyai Kitab Sunan Abi Daud, Dalam Sunan Abu Daud, juzuk 3, halaman 244, hadis nombor 3332 di bawah Kitab Al Buyuk, kalimah tersebut tidak sebagaimana yang disalinkan dalam Majalah Hikmah itu, tetapi seperti berikut;
“Maka di waktu Nabi pulang [dari penguburan jenazah], beliau bertemu dengan seorang pemanggil [penyeru] perempuan.”
Ringkasnya dalam Sunan Abi Daud yang asal tidak terdapat kalimah “da’i imra’atihi” [seorang penyeru perempuan yakni isteri si mati itu] tetapi terdapat “ da’i imra’atiin [ seorang penyeru perempuan].
Dengan demikian , hadis tersebut, kalaupun dapat dipandang sahih padahal tidak, kerana ia diriwayatkan melalui ‘Asim bin Kulaib, seorang yang dikatakan tidak aik [lemah hafalannya], tidaklah pula menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah si mati atas undangan isteri si mati itu.
Hanya saja hadis itu menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah seorang perempun [ bukan isteri si mati] atas undangan perempuan itu sekembalinya Nabi s.a.w. dari menguburkan jenazah [Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6 :259].
Dalam Kitab Subulus Salam [3.93] kalimah tersebut berbunyi: “da’i imra’atiin” [sesungguhnya seorang wanita memanggilnya[ Nabi s.a.w.] kepada satu perjamuan].
Dalam Kitab Nailul Autar [6:69] kalimah tersebut berbunyi: ”da’i imra’ atiin” [seorang penyeru wanita]. Kalimah yang serupa itu juga terdapat dalam kitab Muktasar [terjemahan Indonesia] Nailul Autar [4:1931]. Dalam Kitab Al Muntaqa [ 2: 406], kalimah tersebut juga berbunyi : “da’i imra’atiin” [seorang penyeru perempuan].
Ringkasnya dalam kitab-kitab Subulus Salam [3:93], Nailul Autar [6:69, Muktasar [terjemahan Indonesia], Nailul Autar [4:1931], Al-Muntaqa [2:406],kalimah yang menjadi pokok permasaalahan itu hanya menunjukkan Nabi s.a.w. dan para sahabatnya pergi ke rumah seorang perempuan atas undangan perempuan itu sekembalinya Nabi s.a.w. dari menguburkan jenazah.
Tambah pula menurut sambungan hadis tersebut, Nabi s.a.w. tidak makan di rumah perempuan itu, hanya beliau kunyah-kunyah sahaja, lantas beliau bersabda ; “........kambing ini diambil dengan tidak izin tuannya ......”.
Jadi perempuan yang mengundang Rasulullah s.a.w. itu ialah isteri orang yang mempunyai kambing dengan tidak seizin tuannya itu. Dan sekali-kali tidak terdapat qarinah [petunjuk] yang menunjukkan perempuan itu adalah isteri si mati tersebut.
Sehubungan dengan ini Prof.T.M.Hasbi Ash-Shiddieqy menegaskan bahawa hadis ini terkenal dengan hadis perampasan kambing [Koleksi Hadis-hadis Hukum 6:259].
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah membawa hadis ini untuk menerangkan hukum orang yang merampas kambing orang lain, lalu disembelih, dipanggang dan dimasaknya. [Terjemahan Muktasar Nailul Autar 4:1933].
Didalam kitab Nailul Autar, hadis ini diletakkan di bawah bab ‘Kambing rampasan yang telah disembelih,dipangga ng atau dimasak’ [Ibid, hal.1931-1934] .
Oleh hal yang demikian penggunaan hadis tersebut sebagai hujah untuk mengharuskan, apatah lagi untuk menyunatkan kenduri arwah atau kenduri arwah baik untuk upacara hadiah pahala adalah jauh dari mendekati kebenaran, disebabkan oleh beberapa faktor .
Oleh itu jelaslah sudah bahawa tiada alasan yang membolehkan atau menyunatkan kenduri arwah itu. Pengarang Asy-Syamil menyebutkan iaitu “Adapun bermasak ahli mayat akan makanan dan dihimpunnya orang-orang memakannya maka kerja itu tiada dinaqal daripada sesuatu. Maka [perbuatan itu, iaitu kenduri arwah] ialah bid’ah yang tercela.” [Bahrul Maazi 7:130].
Pengarang Asy-Syamil mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan hadis Jarir bin Abdullah r.a. katanya; Adalah kami [ para sahabat ] menganggap perbuatan berkumpul di rumah ahli mayat dan membuat makanan [ kenduri arwah] sesudah ditanam mayat itu termasuk dari ratapan.” [R.Ahmad dan Ibn Majah. Ini adalah riwayat Ahmad, sahih. Adapun dalam riwayat Ibn Majah tidak terdapat kalimah ‘ sesudah ditanam mayat itu ‘, juga sahih].
BID’AH
Berkata pula Prof.T.M.Hasbi Ash Shiddieqy dalam kitabnya Al Islam [2:245];”Tidak ada perselisihan antara para ulama yang muktabar bahawa mengadakan maktam [ menjamu makan] pada malam yang pertama [dari kematian] atau malam yang ketiga dari kematian seseorang, suatu bid’ah. Mengadakan maktam itu suatu perbuatan yang tidak pernah sekali-kali dilakukan [dibenarkan] oleh syarak.” Ia tidak pernah dibuat oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat bila berlaku kematian. Ini bukan masaalah khilafiah.
Berkata pula Ibn Qudamah;” Adapun keluarga simati membuat makanan untuk orang ramai ( kenduri arwah) maka yang demikian itu dimakruhkan, kerana perbuatan itu meyerupai perbuatan orang-orang Jahiliah.” ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:255).
Ibn Qudamah mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan riwayat daripada Jarir bahawasanya Jarir r.a. pernah datang kepada ‘ Umar r.a. lalu bertanya: adakah diratapkan atas mayat (dalam kaum / di tempat) kamu?Jarir menjawab: Tidak.’ Umar bertanya lagi: Adakah mereka ( kaum tempat kamu) berkumpul di rumah ahli mayat ( keluarga si mati ) dan mereka membuat makanan ( untuk orang berkumpul itu )? Jarir menjawab: Ya. Maka berkatalah ‘ Umar: Yang demikian itulah ratapan.”[Ibid,hal.256] .
Dari kedua-dua riwayat [hadis] tersebut [oleh Ahmad dan Ibn Majah dan oleh Ibn Qudamah] terbuktilah sudah bahawa para sahabat Nabi telah sepakat [ijmak sahabat] melarang diadakan kenduri arwah itu, bahkan mereka menamakan yang demikian itu sebagai ratapan, sedangkan ratapan itu hukumnya haram, berdasarkan beberapa hadis diantaranya; “Wanita yang meratap apabila tidak bertaubat sebelum matinya, maka dia dibangkitkan kelak pada hari kiamat dalam keadaan baju aspal dan penuh kudis.”[R.Ahmad dan muslim].
Diterangkan pula oleh Imam Ahmad bahawa memberi makanan kepada orang yang berkumpul di rumah keluarga si mati adalah satu dari perbuatan kaum Jahiliah. Ahmad sangat keras membantah perbuatan ini. [Ibid, hal.256].
Ahmad mengambil dalil bagi pendapatnya itu dengan riwayat daripada Jarir bin Abdullah [ seperti riwayat Ahmad dan Ibn Majah yang disebutkan di atas].
Berdasarkan riwayat tersebut, Imam Ahmad memandang makruh bagi keluarga si mati membuat makanan untuk orang-orang yang berkumpul di rumah mereka [ yakni kenduri arwah].[Ibid, hal.256].
Disebutkan pula oleh Syed Sabiq dalam Fikih Sunnah [terjemahan Indonesia 4:73] bahawa para imam memandang makruh hukumnya, jika keluarga mayat menyediakan makanan buat [untuk] orang-orang yang datang berkumpul kerana hal itu akan menambah kemalangan mereka serta meniru perbuatan orang Jahiliah. Hal itu adalah berdasar hadis Jarir riwayat Ahmad dan Ibn Majah seperti yang telah disebutkan di atas.
Di dalam Mazhab Maliki, perbuatan berkumpul-kumpul di rumah keluarga si mati dan mereka menyediakan makanan untuk dijamu kepad orang-orang yang berkumpul itu lebih-lebih lagi tidak dibolehkan. Apabila ada di antara yang menerima warisan [pusaka] anak yang masih kecil [yatim] atau yang belum dapat didengar suaranya, maka makanan dan minuman yang disediakan itu yang diambil dari harta peninggalan [si mati ] haram kita memakannya dengan Ijmak Ulama. Demikian ditegaskan oleh Prof.T.M.Hasbi Ash Shiddieqy dalam Koleksi Hadis-Hadis Hukum [6:256].
Kenduri arwah itu dihukum makruh adalah diketika belanja yang dipergunakan untuk kenduri itu di ambil dari kepunyaan orang yang melakukan sendiri , bukan dari harta peniggalan simati. Jika diambil dari harta peniggalan simati, sedang dalam keluarganya yang harus ( berhak) menerima pusaka terdapat anak kecil ( yatim) atau orang yang belum boleh di dengar suaranya, maka perbuatan itu haram adanya. ( Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:256).
PENDAPAT ULAMA SYAFI’IYAH
Berikut ini penulis nukilkan pula beberapa pendapat ulama Syafi’iyah untuk direnungi bersama, khususnya kepada orang-orang yang mengaku bermazhab Syafi,ie.
Ibn Hajar Al-Haithami dalam Tuhfatul Muhtaj berkata apa yang dibiasakan oleh masyarakat sekarang [zamannya] iaitu keluarga si mati membuat makanan dan memanggil orang untuk memakannya adalah bid’ah makruhah. Juga menerima panggilan dan mendatanginya bid’ah makruhah.
Al-Ramli dalam Nihayatul Muhtaj berkata; “Dimakruhkan keluarga si mati membuat makanan dan mengumpulkan orang untuk memakan makanan itu, baik sebelum orang mati itu dikuburkan maupun sesudahnya. Perbuatan itu adalah suatu bid’ah mengingat perkataan Jarir.....”[Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:261].
Dalam Hasyiah Al Qalyubi [1:353] disebutkan; “Telah berkata syeikh kami iaitu Syeikh Ramli: termasuk bid’ah munkarah yang dibenci melakukannya seperti yang tersebut dalam ‘Al Raudhah’, apa yang dilakukan oleh manusia yang dinamakan ‘kifarah’ dan orang yang membuat makanan untuk berkumpul-kumpul atasnya sebelum kematian atau sesudahnya dan juga dari sembelihan atas kubur”.
Al Jamal dalam Hasyiah Syarhil Manhaj menerangkan; “Diantara bid’ah munkarah ialah mengerjakan perbuatan wahsyah, jumak dan 40, yakni membuat perjamuan pada hari kematian, pada setiap Jumaat dan pada hari ke-40 [kenduri arwah]. Semua itu haram hukumnya, jika dikerjakan dengan harta yang masih boleh bertasarruf atau dari harta si mati yang mempunyai hutang atau menimbulkan kesulitan-kesulitan kerananya.”[Koleksi Hadis-Hadis Hukum 6:261].
Ibn’Abidin dalam Raddul Muhtar berkata “diterangkan dalam Fathul Baari : dan sangat dibenci keluarga si mati mengadakan jamuan makan [ kenduri arwah] kerana yang demikian itu adalah suatu bid’ah.” [Koleksi Hadis-Hadis hukum 6:261].
Dalam kitab Al-Bazaziyah diterangkan:” Dimakruhkan kita mengadakan jamuan pada hari yang pertama kita mengadakan jamuan pada hari yang pertama [kematian], pada hari ke-3, sesudah seminggu berlalu, sebagaimana tidak disukai kita membawa makanan ke kubur pada waktu-waktu tertentu “. [Ibid, hal.262].
Dalam Kasyful Lithan [ 1:83] disebutkan;” Bermula berbuat makanan yang menghimpun atasnya oleh manusia pada malam yang ditanam akan mayat itu yang dinamakan dengan ‘wahsyah’ itu makruh selama tiada ia daripada harta anak yatim dan jika tiada [ yakni jika menggunakan harta yang dimiliki/dipusakai oleh anak yatim] maka haram”.
Dalam kitab Sabilul Muhtadin [2:87] disebutkan: “[Dan makruh] lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya segala manusia atas makanan dia dahulu daripada menanam dia [mayat] dan kemudian daripadanya seperti yang telah beradat [dan demikian lagi] makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diseru memperkenankan seruan itu”.
FATWA-FATWA MUFTI EMPAT MAZHAB
Seterusnya dinyatakan pula fatwa-fatwa daripada mufti-mufti 4 mazhab di Mekah sebagaimana yang tersebutkan dalam Iknatut Talibin [ 2:145-146].
Syed Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Mekah dari mazhab Syafi’i berkata ;”Ya ! Apa yang diperbuat orang, iaitu berkumpul di [rumah] sisi ahli mayat dan membuat [menyediakan] makanan[untuk orang-orang yang berkumpul itu] adalah dari bid’ah munkarah yang diberi pahala [kepada] ketua negeri atas menegahnya.” [I’natut Talibin 2: 145].
Seterusnya beliau menyatakan:”Dan tidak syak bahawa menegah manusia daripada bid’ah mungkar ini [kenduri arwah], bererti menghidupkan sunnah, mematikan bid’ah, membuka pintu kebajikan dan menutup pintu kejahatan, lantaran masyarakat terlalu memberatkan diri buat mengerjakan yang demikian, sehingga perbuatan menjadi haram”.[Ibid, hal 146].
Dalam kitab yang sama [ 2:146] juga disebutkan fatwa daripada Mufti Mazhab Hanafi sebagai berikut;”Ya ! Diberi pahala ketua negeri...... atas melarang manusia daripada perkara-perkara yang masuk bilangan bid’ah yang jelek di sisi jumhur”.
Seterusnya disebutkan pula;”Telah menjawab seperti dua-dua jawapan itu [ jawapan Mufti mazhab Syafi’i dan mufti Mazhab Hanafi] oleh Mufti [Mazhab] Maliki dan mufti[ Mazhab] Hanbali.”[Iknatut Talibin 2: 146].
FATWA MUFTI MESIR
[Penyalin: Al Ustaz Syied Rajab, Mufti Negara Mesir pada tahun 1947/1366 menyiarkan fatwanya di akhbar Al Ahram menerangkan bahawa sambutan kematian itu adalah bid’ah yang sangat tercela yang tidak berasas dari Islam, Siaranya di Majalah Nuurul Islam keluaran Al Azhar di antara lain mengingatkan ummat Islam supaya meninggalkan adat ma’tam atau sambutan hari kematian yang sedang mencengkam jiwa ummat Islam dan agar kembali kepada pimpinan Ugama dan Syariat yang luhur.[Baca: Hashim Ghani: Urusan Jenazah Dalam Islam menurut As- Sunnah hal.75]
Kesimpulannya mengadakan kenduri arwah baik sebelum atau sesudah mayat dikebumikan samaada membilang hari ataupun tidak hukumnya adalah berkisar di antara bid’ah makruhah [makruh], bid’ah munkarah atau pun haram; sekali-kali tidak sunat. Begitu juga hukum mendatangi [hadir] majlis kenduri tersebut. Oleh itu berhati -hati dan takutlah kepada azab Allah sebelum membela dan mengamal tradisi Jahiliah ini.
Sekurang-kurangnya kenduri arwah itu bida’ah makruhah ataupun makruh hukumnya kerana perbuatan itu akan menambah kesusahan bagi keluarga simati itu;serta perbuatan itu juga merupakan peniruan atau penyerupaan perbuatan orang Jahiliah. Seringkali juga permasaman muka tidak bertegur-sapa atau perkelahian terjadi diantara ahli keluarga mayat dengan tetangganya kerana sesuatu ‘ kerenah’ ( perkara tak baik)yang timbul semasa mengadakan kenduri arwah itu. Dan bila ini benar terjadi maka hukumnya tidak lagi makruh tetapi sudah menjadi haram.
Adapun yang dikatakan makruh itu adalah sekiranya makanan atau belanja untuk kenduri itu diambil dari kepunyaan orang-orang yang melakukannya sendiri, yakni tidak diambil dari harta peniggalan simati, terutamanya sekiranya simati itu meninggalkan hutang ataupun anak yang mempunyai anak yang masih kecil. Juga kenduri itu tidak menimbulkan ‘ kerenah’ sebagaimana yang disebutkan di atas.
Sebaliknya jika belanja atau makanan untuk kenduri arwah itu diambil dari harta peninggalan simati yang mempunyai hutang atau yang mempunyai anak yang masih kecil ( anak yatim) atau yang masih belum dapat di dengar suaranya, atau perbuatan itu boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak baik atau ‘ kerenah’ seperti yang disebutkan diatas, maka dengan tIdak ragu-ragu lagi perbuatan itu menjadi haram.
APA KATA PENGARANG BUKU AGAMA
“Kaum kerabat, tetangga, sahabat handai-taulan dari ahli mayat hendaklah memberi makan kepada keluaga [ahli] mayat, kerana keadaan, mereka sedang dalam kekalutan belum sempat mengurus makanan mereka sendiri.
Sabda Rasulullah s.aw:
Dari Abdullah bin Ja’afar katanya: Tatkala datang khabar meninggalnya Ja’far ketika terbunuh. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Buatkanlah olehmu makanan untuk keluarga Ja’far, kerana mereka sedang menderita kesusahan[kekalutan]”Riwayat lima orang ahli hadis terkecuali Nasai.
Inilah yang disyariatkan dalam agama Islam, bukan sebagaimana yang biasa dilakukan di Indonesia[Malaysia] , semua tetangga, sahabat yang dekat atau yang jauh, keluarga, teman dan orang sekampung, semua itu, datang beramai-ramai berkumpul di rumah ahli mayat, untuk makan-makan dan ahli mayat terpaksa menyediakan makanan yang bermacam-macam, biarpun sampai menghabiskan harta peninggalan si mayat. Malahan kalau kurang, hartanya sendiri di habiskan pula. Orang-orang yang datang di tempat kematian itu, sepanjang hari tidak perlu berbelanja lagi, sudah cukup keperluannya di tanggung oleh yang kematian yang sedang bersedihan dan berduka-cita kehilangan anak atau bapak yang di cintainya: bahkan yang datang itupun beratus-ratus pula. Selain dari perayaan di hari matinya itu, diadakan pula ramai-ramai untuk makan-makan di hari ketiga dari hari meninggalnya, hari ke tujuh, ke sepuluh, empat puluh, seratus dan seterusnya. Kesedihan itu selalu di baharui [ dibangkit-bangkit ] dan kerugian selalu di tambah-tambah. Semua itu hukumnya haram, tidak diiizinkan oleh agama Islam yang maha suci, lebih-lebih kalau ahli mayat itu ada yang belum sampai umur [belum baligh]
Sabda Rasulullah s.a.w:
Dari Jarir bin “Abdullah Al-Bajali katanya: “Berkumpul-kumpul pada ahli mayat serta membikin makanan-makanan sesudah mayat dikuburkan, kami anggap sebahagian dari meratap.”{sama hukumnya dengan meratap,iaitu haram].Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.
Memang kalau kita renungkan lebih jauh serta kita pikirkan dengan pikiran yang sihat dan tenang tidak dipengaruhi oleh apapun juga, alangkah sedihnya ahli mayat, sesudah ia kehilangan anak, buah jantungnya atau kehilangan bapak pemegang kemudi hidup dan penghidupannya, hartanya di habiskan pula. Kalau tidak di ikutinya kehendak adat yang semacam itu, ia tercela di mata kaum adat yang berfikiran tidak sihat itu.” [Baca:H.Sulaiman Rasjid;Fiqih Islam hal.186-187, Attahiriyah Jakarta. Cet.ke 18].
Firman Allah bermaksud:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka ikutlah apa yang diturunkan oleh Allah: Mereka berkata, bahkan kami mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami.[Apakah mereka akan ikut] walaupun datuk nenek mereka itu tidak berakal sedikit pun dan tidak mendapat pertunjuk ? [Al-Baqarah :170].
“Kita ketahui juga bahawa masyarakat kita masih ramai membaca Al- Fatihah atau ayat-ayat Al Quran yang lain serta tahlil untuk dihadiahkan pahalanya kepada arwah si mati. Amalan ini sebenarnya tidak terdapat di dalam Al Quran dan Assunnah”.
“Kenduri Arwah dan doa serta tahlil yang dilakukan dalam masyarakat kita hari ini, juga kenduri arwah si mati pada hari kematian, kenduri tujuh hari selepas kematian, kenduri empat puluh hari dan seratus hari selepas kematian, adalah tiada diambil dari keterangan atau dari ajaran Islam yang sebenar. Tetapi amalan ini adalah campuran dengan pengaruh ajaran Hindu atau ajaran Budha yang kita warisi daripada datuk nenek kita sejak turun temurun dengan secara bertaqlid amalan mereka sahaja tanpa melihat dengan sumber ajaran Islam sebenar.”[Baca: Ahmad Yusuf Amin: TAQLID dan kesan-kesannya terhadap perkembangan fikiran dan Ilmu Pengetahuan. hal63-64].
Oleh itu umat Islam yang meninggal amalan ini adalah umat Islam yang alim bukan jahil, bukan kedekut malah menghidup sunnah dan mematikan bid’ah. Umat Islam ini menurut amalan Nabi s.a.w, para sahabat, para Imam Mazhab dan semua pendapat ulama yang kembali kepada Al Quran dan Sunnah.
Hujah golongan ini jelas dan jujur berpandu Al Quran dan Hadis, ijma sahabat dan pendapat ulama semua mazhab ahlul sunnah wal jamaah . Manakala golongan sebaliknya cuba mencari dalil yang diada-adakan samaada yang dhaif ,salah kutip ,kata ulama serta dalil fikiran untuk mempertahan tradisi ‘kenduri arwah’ yang menguntungkan perut. Al Quran dan Hadis Sahih ditakwil supaya sesuai dengan amalan. Fatwa ulama yang jelas, tegas dan jujur disembunyikan demi menyunatkan amalan kenduri arwah. Ulama yang berani membenteras amalan kenduri arwah di label dan diberi gelaran Kaum Muda, Wahabbi dan Mutazilah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan