Rabu, 18 Ogos 2010

Itulah Sikap Kita: Sering mengabaikan sumbangan orang lain

http://www.al- ahkam.net/ home/modules. php?op=modload&name=News&file=article&sid=15050


Itulah Sikap Kita: Sering mengabaikan sumbangan orang lain -

Bila kita melihat teman-teman dari kelompok lain menumpukan kerja-kerja tertentu, kita secara sinis mengatakan "tak habis-habis dengan kerja itu.." Kemudian kita mendabik dada mengatakan "ini.. Kerja yang kami buat lebih besar sumbangannya. ."
Bila kita lihat kawan-kawan kita menumpukan dengan kerja-kerja politik semasa, kita akan mengatakan "tak habis-habis dengan politik.." "Kerja-kerja membenteras bid'ah lebih baik diutamakan."
Bila kita lihat kawan-kawan yang lain berusaha menyebarkan as Sunnah, membenteras bid'ah dan khurafat, kita akan mengatakan: "Itu benda remeh.. Itu benda khilafiyah.. " "Mari kita lawan sekular dulu, dapatkan dulu kuasa, kemudian bila dah dapat barulah benteras bid'ah..."


Bila ada orang yang menghabiskan waktunya dengan mengkaji tentang aliran Syiah Imamiyah hingga ke akar umbinya, kita juga akan kata begitu dan begini. "Tak habis-habis cerita tentang Syiah..." Kemudian macam-macam tanggapan yang kita buat: "Benteras bid'ah dan khurafat dulu.." Atau "Lawan sekular dulu.." "Dapatkan kuasa dulu.." Dan sebagainya.. .
Di sana banyak lagi kawan-kawan kita dengan penumpuan terhadap kerjanya masing-masing demi menyumbang kepada Islam. Ada yang menghabiskan masa dengan mengkaji aliran-aliran sesat.. Tarekat sufi. Ada yang berlawan dengan Anti Hadith dan Islam Liberal. Sebahagiannya mendalami hal perbandingan agama. Mengabdikan diri untuk berhujah dengan Kristian.
Yang lain, ada yang membuat penyelidikan dalam bidang Feqh.. Hadith.. Tafsir.. Qiraat dan seterusnya.
Setiap satunya itu memerlukan kesungguhan, tekad, masa, tenaga dan wang ringgit.
Kita sering mengambil sikap memperlekeh dan melecehkan kerja kawan-kawan kita. Kita sering beranggapan bahawa apa yang kita lakukan adalah yang paling utama. Apa yang kita ceburi itulah satu-satunya sumbangan terhadap Islam. Sumbangan kawan-kawan kita yang lain tidak ada ertinya. Atau paling kurang kita beranggapan tarafnya lebih rendah.
------------ -------
Hanya ALlah yang Maha Sempurna..
Umumnya, tidak ada seorang manusiapun yang mampu melakukan semua hal. Semua kerja dalam satu masa. Setiap manusia secara tabiatnya memerlukan antara satu dengan yang lain dalam hidupnya. Ini perkara biasa yang semua orang tahu.
Seorang pesawah padi tidak boleh bangkit mendabik dada berteriak, "akulah yang paling berjasa untuk kelangsungan hidup manusia!" "Dengan tulang empat kerat inilah semua orang di negara ini dapat menjamah nasi." "Mereka jadi sihat. Kuat dan boleh hidup."
Seorang doktor perubatan pula memperlekeh pesawah, "tugas doktorlah yang paling memberi kebaikan kepada rakyat negara ini." "Mengubat orang yg sakit. Menyelamatkan nyawa orang." "Tanam padi bukan ada apa-apa.."
Tampil pula tukang rumah. Nelayan. Penternak binatang. Peniaga. Peguam. Guru. Mekanik. Jurutera dan seterusnya.. Dengan dakwaan masing-masing bidang kerja kamilah yang paling berjasa. Paling hebat. Yang lain tidak bermakna.
Bayangkan, ketika si pesawah ini sakit, doktor tidak ada. Si doktor mahu membeli makanan utama, si petani sudah tidak bertani lagi. Para nelayan sudah tidak ke laut lagi.. Dan seterusnya.. .
Masing-masing ada peranan masing-masing untuk membuatkan anakcucu bani adam terus wujud di mukabumi ini. Setiap manusia memerlukan manusia lain. Setiap orang dari bidang tertentu memerlukan manusia lain dari bidang tertentu. Ia bagaikan mata rantai yang tidak terputus.
------------ ---
Dalam kita memperjuangkan agama. Usaha mendaulatkan Islam di atas mukabumi ini juga begitu. Masing-masing memerlukan antara satu dengan yang lain. Pertubuhan yang memperjuangkan politik, barangkali dilengkapi dengan hal-hal yang lain namun, tidak semestinya ia tidak memerlukan langsung dengan apa yang diusahakan oleh kelompok lainnya.
Mereka yang menumpukan usaha dakwah menarik manusia ke masjid, mustahil sama sekali tidak memerlukan hasil kerja keras parti politik.
Seorang faqeh yang menekuni hal-hal hukum-hakam Islam. Mengkaji feqh Islami, akan diperlukan oleh semua golongan pada ketika tertentu. Malah sebenarnya setiap masa.
Bila berlaku penyebaran aliran sesat dan sufi falsafah, teman kita yang mengkaji aliran sesat itulah yang menjadi rujukan kita.
Bila berlaku gelombang penyusupan masuk fikrah dan semangat syiah ke dalam masyarakat kita, maka pengkaji-pengkaji syiah yang telah menumpahkan banyak masa dan tenaga untuk hal itulah yang kita perlukan untuk sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam agar berhati-hati. Memberi tunjuk ajar garis sempadannya.
Golongan tajdid yang menumpukan bidang hadith sebagai keutamaan. Yang siap menggariskan sempadan antara sunnah dan bid'ah. Sering lantang memukul gendang, ini sunnah. Ini bid'ah. Ini khurafat. Kita amat memerlukan mereka untuk membendung merebaknya bid'ah. Tersebarnya khurafat. Dan dari merekalah kita dapat belajar rupa sunnah yang hidup di tengah-tengah masyarakat.
Ketika Islam liberal menyerang Islam melalui undang-undang, maka kawan-kawan kita yang menumpukan sepenuh masa dalam bidang undang-undang yang kita perlukan.
------------ -------
Masing-masing sebenarnya telah menikmati hasil usaha yang telah dilakukan oleh rakan-rakan yang lain, samada disedari ataupun tidak. Samada mahu ataupun tidak. Kadangkala orang yang memaki dan mengejek-ngejek temannya yang lain itulah yang paling banyak menikmati hasil usahanya.
Bila si A diajak mari kita dokong politik Islam, dijawabnya: Kita benteras khurafat dan bid'ah dahulu.
Bila si B diajak membenteras bid'ah, dijawabnya: Tunggu kita dapat kuasa dahulu, selepas itu baru kita benteras bid'ah.
Pada hakikatnya, si A itu perlukan si B, dan si B perlukan si A.
------------ --------- -
Seorang rakan saya tidak pernah ambil tahu tentang Syiah. Walaupun dia seorang ustaz yang hebat, namun pengetahuannya tentang Syiah amat terbatas. Ini adalah fenomena ulama di Malaysia yang pengetahuan mereka tentang Syiah amat terbatas. Barangkali kerana gejala Syiah baru bermula. Atau sudah bermula tetapi tidak disedari.
Namun, apabila seorang saudara terdekatnya telah terjebak dengan Syiah, dia mula menggelabah. Dia tidak dapat menjawab dengan baik ketika ajaran Islam disergah oleh si saudaranya yang Syiah itu. Dia tidak terkata apa, apabila Abu Bakar r.a., Umar r.a dan sahabat lainnya dihina. Malah dikafirkan!
Dia mula mencari pengetahuan tentang Syiah. Selama ini dia tahu sahabat semuanya adil. Namun dia tidak pernah ambil pusing bagaimana mahu mempertahankan sahabat r.a. Dia hanya tahu menyintai dan mengasihi sahabat tetapi dia tidak tahu bagaimana mempertahankannya.
Dahulu, dia amat marah dan naik angin apabila khomeini dikritik kerana aqidah sesatnya. Katanya, syiah sekarang lain. Bukan macam syiah dulu. Syiah sekarang seperti mazhab yang empat. Namun apabila melihat sendiri dengan mata kepalanya saudaranya yang terbabit dengan Syiah memaki sahabat. Mengkafirkan Ummul Mukminin, dia terpaksa memikirkan kembali fahamannya ttg khomeini dan mazhab orang-orang Iran.
Dahulu,dia jugalah yang mengejek-ngejek orang yang sibuk mengkaji tentang syiah. Katanya buang masa sahaja. Katanya, jangan fikir soal Syiah ataupun bukan. Yang penting mesti lawan sekular. Katanya, yang ini dan yang itu lebih penting dari syiah! Katanya, kamu tidak ada kerja lain melainkan syiah!
Sekarang.. Hasil kerja kawan-kawannya itulah yang terpaksa ditelaahnya. Dia memanfaatkan hasil kajian teman2nya tentang Syiah dengan tekun.
------------ -----
Patutlah al-Imam al-Banna meminta agar Syed Sabiq menumpukan perhatian terhadap Feqh bukan politik, sehingga terhasillah Feqhus Sunnah yang dimanfaat oleh umat Islam sekarang ini.
Memang, apabila kita memusatkan fikiran kita ke dalam satu-satu kelompok akan menyebabkan kita sering sempit dan mengabaikan peranan saudara-saudara kita yang lain yang bukan dari kelompok kita. Kita sering tidak berlaku adil terhadap mereka. Malah sering juga kita menganaktirikan suara dan kritikan mereka. Jika kritikan itu datangnya dari kelompok kita, maka kita abaikan. Kita menganggapnya sebagai kritikan membina. Sebaliknya jika kritikan itu (yang sama isikandungannya) datangnya dari teman-teman yang bukan dari kelompok kita, maka kita akan menganggapnya sebagai cuba memusuhi kita.
Padahal itu saudaramu juga. Saudara seislam!
Itulah sikap kita...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan