Khamis, 12 Ogos 2010

Hukum `At-Talfiq' Antara Mazhab-Mazhab.

Hukum `At-Talfiq' Antara Mazhab-Mazhab. (Dr Yusof Al-Qardawi)

Soalan:

Apakah hukum bertaqlid kepada seorang Imam dalam satu masalah dan kemudiannya bertaqlid kepada Imam lain dalam masalah yang lain pula?

Jawapan:

Inilah yang dinamakan `talfiq'. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya sekiranya 'talfiq' ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.

Oleh itu para salaf telah berkata:

"Orang yang mencari rukhsah (keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasiq."

Sebagai contoh:

Seseorang yang mengambil pendapat mazhab tertentu apabila kepentingannya terdapat di dalam pendapat tersebut seperti seorang lelaki mengambil pendapat Abu Hanifah yang mengatakan jiran mempunyai `syufah' bagi membolehkannya memiliki rumah jiran sebelahnya.

Tetapi jika pendapat mazhab tersebut mendatangkan maslahat kepada jirannya, dia akan mengambil pendapat sebaliknya, iaitu jika dalam masalah yang sebaliknya. Dia berkata: "Aku mengambil pendapat Imam Syafie dan aku menolak pendapat lainnya."

Itu adalah kerana dia mengikut hawa nafsunya, mempermain-mainkan agama dan menjadikan mazhab-mazhab sebagai hamba kepada kepentingannya.

Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). Allah telah mencela kaum Munafiq di dalam firman-Nya:

"Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata:

“Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat ".Kemudian segolongan dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab Allah dan sunnah RasuINya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta merta segolongan dari mereka berpaling engkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukamannya). “An-Nur: 47-49.

Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.

Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada, pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wudhuk, pandangan Syafie yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wudhu' dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa air tidak akan najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya.

Inilah fatwa saya.

Semoga Allah memudahkan kita untuk memahami agamanya. Sesiapa yang Allah hendak berikannya kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama.

Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga, dan sahabat-sahabat baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan